mengapa menyambut maulidul rasul?
1. Dalil-dalil umum dari Al Quran yang dijadikan hujjah oleh Ulamak yang membenarkan :
فَٱلَّذِينَ
ءَامَنُواْ بِهِۦ وَعَزَّرُوهُ وَنَصَرُوهُ وَٱتَّبَعُواْ ٱلنُّورَ
ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ مَعَهُ ۥۤۙ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ (١٥٧)
Maka
orang-orang yang beriman kepadanya (Muhammad), dan memuliakannya, juga
menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya
(Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya.
(Surah al A’raf 157)
Di
dalam ayat ini dengan tegas menyatakan bahawa orang yang memuliakan
RasuluLlah sallaLlahu ‘alaihi wasallam adalah orang yang beruntung.
Merayakan maulid Nabi termasuk dalam rangka memuliakannya.
ٱلصَّلَوٰةَ
وَءَاتَيۡتُمُ ٱلزَّڪَوٰةَ وَءَامَنتُم بِرُسُلِى وَعَزَّرۡتُمُوهُمۡ
وَأَقۡرَضۡتُمُ ٱللَّهَ قَرۡضًا حَسَنً۬ا لَّأُڪَفِّرَنَّ عَنكُمۡ
سَيِّـَٔاتِكُمۡ وَلَأُدۡخِلَنَّڪُمۡ جَنَّـٰتٍ۬ تَجۡرِى مِن تَحۡتِهَا
ٱلۡأَنۡهَـٰرُۚ
Bahawa Aku adalah berserta kamu (memerhati
segala-galanya). Demi sesungguhnya jika kamu dirikan sembahyang, serta
kamu tunaikan zakat dan kamu beriman dengan segala Rasul (utusanKu) dan
kamu muliakan mereka dan kamu pinjamkan Allah (dengan sedekah dan
berbuat baik pada jalanNya) secara pinjaman yang baik (bukan kerana riak
dan mencari keuntungan dunia), sudah tentu Aku akan ampunkan dosa-dosa
kamu, dan Aku akan masukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di
bawahnya beberapa sungai.
(Surah al Ma’idah ayat 12)
Erti
“azzartumuhum” ialah “memuliakan mereka” (Tafsir Tabari, juz VI halaman
151) Orang yang memuliakan Nabi akan dimasukkan ke dalam syurga. Dan
menyambut Maulid Nabi adalah dalam rangka memuliakan Nabi.
2.
Saya ingin menyemaikan perasaan cinta kepada RasuluLlah sallaLlahu
‘alaihi wasallam. Di kala ramai orang yang kini semakin jauh dari
perasaan cinta kepada baginda. Bukankah rasuluLlah bersabda begini :
"Belum
sempurna iman seseorang dari kamu. kecuali aku lebih dikasihinya
berbanding dengan keluarganya, dan hartanya dan manusia keseluruhannya."
(Riwayat Muslim juz 11, hlm 15)
Ahh..
bukankah kita sendiri meraikan ulang tahun kelahiran sendiri ? Ibu dan
ayah. Bahkan ada pula golongan yang meraikan kelahiran ‘mujaddid’ mereka
sendiri ? Jika kita sendiri pun menyambut hari ulang tahun perkahwinan,
hari lahir diri dan juga orang lain. Mengapa kita tidak menyambut hari
kelahiran manusia agung yang pengutusannya ke muka bumi ini memberi
rahmat kepada sekalian alam ?
Saidina Umar radiyaLlahu ‘anhu berkata kepada Nabi Muhammad sallaLlahu ‘alaihi wasallam :
“Engkau
lebih aku cintai daripada segala sesuatu kecuali diriku sendiri”.
Baginda sallaLlahu ‘alaihi wasallam berkata : “Tidak, wahai Umar. Sampai
aku lebih kamu cintai daripada dirimu sendiri.” Saidina Umar
radiyaLlahu ‘anhu berkata, “Demi Allah subahanahu wa ta’ala, engkau
sekarang lebih aku cintai daripada diriku sendiri.” Baginda sallaLlahu
‘alaihi wasallam berkata, “Sekarang wahai Umar.”
(Hadith Riwayat Bukhari, Sohih Bukhari, vol 6 hlmn 2445)
3. Maulidul Rasul itu tidak pernah dibuat oleh RasuluLLah dan ia bid'ah sesat ?
Ada dalil umum bagaimana RasuluLlah sendiri pernah menyebut mengenai hari-hari kebesaran contohnya :
Bahawasanya
Nabi Muhammad sallaLlahu ‘alaihi wasallam datang ke Madinah, maka
Baginda sallaLLahu ‘alaihi wasallam mendapati di situ orang-orang Yahudi
berpuasa pada Hari Asyura iaitu hari 10 Muharram, maka Nabi bertanya
kepada orang Yahudi itu: Kenapa kamu berpuasa pada hari Asyura ?
Jawab
mereka : ini adalah hari peringatan, pada hari serupa itu dikaramkan
Fir’aun dan pada hari itu Musa dibebaskan, kami puasa kerana bersyukur
kepada Tuhan. Maka RasuluLlah bersabda : Kami lebih patut menghormati
Musa dibanding kamu”
(Hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim).
Banyak
sebenarnya perkara yang tidak pernah dibuat oleh RasuluLlah tetapi
dilakukan oleh sahabat dan para salafussoleh melalui ijtihad mereka
dalam perkara ibadah contoh yang senaraikan oleh bekas Mufti Iraq iaitu
Sheikh Abdul Malik Abdul Rahman as Sa’adi :
1. Nabi sallaLLahu
'alaihi wasallam pernah menyamakan (qiyas) hukum menunaikan haji dan
berpuasa untuk seorang yang telah mati dengan hutang terhadap hamba
ALlah yang ia wajib tunaikan. (Fath al Bari, jld 4, m.s 64)
Walaupun
ini tidak dianggap hukum yang telah ditetapkan oleh qiyas tetapi dengan
nas, kerana RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam diberi kebenaran
untuk mengeluarkan hukum, tetapi ini sebenarnya baginda telah membuka
satu peluang atau laluan atau pintu kepada umatnya secara umum akan
keharusan menggunakan qiyas. Terutama di dalam persoalan ibadah khusus
kerana haji dan puasa adalah di antara bentuk ibadah.
2. Saidina
Umar berpendapat bahawa tidak batal puasa seseorang yang berkucup dengan
isterinya, kerana mengqiyaskan dengan berkumur-kumur ketika berpuasa.
(Diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah dan al Baihaqi).
3. Dalam
menetapkan satu miqad baru iaitu Zatu Irq bagi jemaah Haji atau Umrah
yang datang dari sebelah Iraq, Saidina Umar mengqiyaskannya dengan
tempat yang setentang dengannya iaitu Qarn al Manazil. Sedangkan
RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam hanya menetapkan empat tempat
sahaja sebagai miqat tetapi Saidina Umar menambah satu lagi iaitu Zatu
Irq (menjadi lima). (Lihat al Mughni, jld 3, m.s 3 258 dan Fath al Bari
m.s 389)
4. Saidina Uthman mewujudkan azan dua kali (pertama dan
kedua) pada hari Jumaat diqiyaskan dengan azan 2 kali pada solat subuh
dengan alasan bahawa azan yang pertama pada Solat Subuh disyariatkan
pada zaman RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam untuk mengejutkan
mereka yang sedang tidur, maka begitu juga azan yang pertama pada solat
Jumaat untuk mengingatkan mereka yang sedang sibuk berniaga di pasar dan
yang bekerja (Nailul al Authar : 3/322)
5. Jumhur ulama
mengharuskan dua solat sunat yang bersebab pada waktu yang makruh
diqiyaskan dengan solat sunat selepas Zohor yang diqadha' oleh
RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam selepas Solat Asar ( Lihat al
Nawawi, Syarah sahih Muslim: 6/111)
6. Sebilangan besar pada
ulama berpendapat, menyapu tangan sampai ke siku ketika tayammum adalah
wajib diqiyaskan dengan membasuh kedua tangan ketika berwudhuk. (Lihat
Mughni al Muhtaj:1/99 dan al Mughni: 1/204)
7. Bagi ulama yang
berpendapat bahawa solat sunat sebelum Solat Jumaat adalah sunat muakkad
mengqiyaskan dengan solat sunat sebelum Zohor. Manakala sebilangan
ulama lain di antaranya Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim berpendapat
bahaya ia adalah sunat (sunat mutlak bukannya sunat muakkad)
mengqiyaskannya dengan solat sunat hari raya yang tidak ada solat sunat
(muakkad) sebelum solat tersebut. ((Al Fatawa: 24/194)
8.
Sesetengah ulama bermazhab Hanafi mengqiyaskan air yang banyak yang
tidak terjejas apabila jatuh najis ke dalamnya dengan air laut dari segi
banyaknya. (al Mushili, al Ikhtiyar: 1/14)
9. Para ulama
bermazhab Hambali mengharuskan ganti dengan memberi makanan sebagai
kaffarat bunuh (yang tidak sengaja), kerana mengqiyaskannya dengan
kaffarat zihar dan kaffarat jimak pada siang hari Ramadhan (Al Mughni:
8/97)
10. Menurut Imam Ahmad dalam satu riwayat daripadanya,
dibasuh setiap benda yang terkena najis sebanyak tujuh kali, salah
satunya dengan air tanah, kerana beliau mengqiyaskannya dengan sesuatu
yang terkena najis anjing atau babi (Al Mughni: 1/54-55)
11.
Menurut Imam Ahmad dalam salah satu pendapatnya, diwajibkan berdiri
sekadar yang termampu bagi sesiapa yang tidak mampu berdiri dengan
sempurna ketika solat samada kerana ketakutan atau kerana atap hendak
roboh diqiyaskan dengan hukum berdiri seorang yang bongkok. (Al Mughni:
2/144)
12. Imam Malik berpendapat, diharuskan melewatkan solat
bagi mereka yang ketiadaan air diqiyaskan dengan seorang perempuan yang
kedatangan haid yang diharuskan melewatkan solatnya (al Mughni: 1/250)
13.
Imam Abu Hanifah dan Imam asy Syafie berpendapat, sah tayammum bagi
seorang yang berhadas besar dengan niat mengangkat hadas kecil
diqiyaskan dengan sahnya wudhuk selepas membuang air kecil atau besar
(walaupun tanpa niat untuk mengerjakan solat). (Al Mughni: 1/267)
14.
Imam Malik membolehkan qadha' solat malam yang terluput, iaitu
dikerjakannya selepas terbit fajar sebelum solat Subuh diqiyaskan dengan
solat witir. Tetapi ini adalah salah satu pendapat Imam Malik berhubung
dengan masalah ini. (al Mughni:2/120)
15. Imam Abu Hanifah, Ath
Thauri dan Al Auza'ie membolehkan lewat solat bagi mereka yang tidak
menemui air dan tanah sehinggalah menemuinya, kemudian mengqadha'nya
diqiyaskan dengan melewatkan puasa bagi wanita yang kedatangan haid (Al
Mughni: 1/267)
Ini hanya sebahagian kecil daripada sebilangan
besar persoalan ibadah yang dikeluarkan hukumnya berdasarkan kaedah
qiyas. Qiyas ini adalah ijtihad dan pandangan. Oleh itu, sesiapa yang
melarang menggunakan qiyas di dalam ibadah secara mutlaq, maka
pendapatnya tidak dapat diterima sebagaimana yang dinyatakan tadi.
Ibnu
Umar radiyaLlahu anhu berpendapat, solat Sunah Dhuha tidak digalakkan
di dalam syariat Islam melainkan bagi mereka yang tiba dalam
permusafiran. Beliau hanya mengerjakannya ketika tiba di Masjid Quba.
Ini diriwayatkan oleh Al Bukhari daripada Mauriq katanya :
"Aku
pernah bertanya kepada Ibnu Umar RadiyaLlahu 'anhu." Adakah kamu
bersolat Dhuha? Beliau menjawab "Tidak", Aku bertanya lagi "Adakah Umar
mengerjakannya?" Beliau menjawab "Tidak". Aku bertanya lagi " Abu
Bakar?" Jawabnya: "Tidak" Aku bertanya lagi: "RasuluLLah sallaLLahu
'alaihi wasallam?" Jawabnya "Aku tidak pasti".
Menurut al Hafiz Ibnu Hajar al Asqolani:
"Sebab
tawaqqufnya Ibnu Umar pada masalah itu kerana beliau pernah mendengar
daripada orang lain bahawa RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam pernah
mengerjakannya tetapi beliau tidak begitu mempercayai perkara itu
daripada seorang yang menyebut kepadanya.".
Maka, beliau
menganggap solat Dhuha adalah di antara bid'ah yang baik sepertimana
yang diriwayatkan oleh Mujahid daripada beliau (Ibnu Umar).
Menurut Al A'raj:
“Aku pernah bertanya Ibnu Umar berkenaan Solat Sunah Dhuha? Beliau menjawab: “Ia adalah bid’ah dan sebaik-baik bid’ah”
. (Fath al Bari: 3/52)
Sepertimana
yang telah dinyatakan daripada Ibnu Umar tadi, membuktikan bahawa
perkara-perkara yang baharu diwujudkan dalam ibadah memang berlaku dan
diakui oleh pada sahabat RadiyaLlahu ‘anhum sendiri.
4. Adakah contoh para salafussoleh yang menyambut maulidul Rasul ?
Prof Dr Ali Jum’ah iaitu Mufti Mesir menjawab begini :
Telah
menjadi kebolehan (keharusan) dan tradisi di kalangan salafussoleh
sejak abad ke 4 dan ke 5 merayakan peringatan maulid nabi sallaLlahu
‘alaihi wasallam yang agung. Mereka menghidupkan malam maulid dengan
pelbagai ketaatan dan ibadah pendekatan kepada Allah seperti memberi
makan fakir miskin, membaca al Quran, berzikir, melantunkan puisi-puisi
dan puji-pujian tentang rasuluLlah. Hal ini ditegaskan oleh sebilangan
ulama seperti : Al Hafizh Ibnu Jauzi, Al Hafizh Ibnu Katsir, Al Hafizh
Ibnu Dihyah, al Hafizh Al Hebatusi, Al Hafizh Ibnu Hajar dan Penutup
Huffazh (para penghafaz hadith dalam jumlah yang sangat banyak)
Jalaluddin Al Suyuthi.
5. Ulamak lain yang membenarkan ?
Dalam
kitab al Madkhal, Ibnu Hajj menjelaskan dengan panjang lebar tentang
keutamaan yang berkaitan dengan perayaan ini dan dia mengemukakan
huraian penuh manfaat yang membuat lapang hati orang yang beriman.
Imam
Jalaluddin al Suyuthi dalam bukunya ‘Husnul Maqshid fi Amalil Maulid’
memberikan penjelasan tentang Maulid Nabi sallaLlahu ‘alaihi wasallam :
Menurutku,
bahawa hukum dasar kegiatan maulid yang berupa berkumpulnya orang-orang
yang banyak, membaca beberapa ayat-ayat al Quran, menyampaikan
khabar-khabar yang diriwayatkan tentang awal perjalanan hidup Nabi
sallaLlahu ‘alaihi wasallam dan tanda-tanda kebesaran yang terjadi pada
waktu kelahiran Baginda, kemudian dihidangkan makanan untuk mereka dan
emreka pun makan bersama, lalu mereka pun berangkat pulang, tanpa ada
tambahan kegiatan lain. Adalah termasuk bid’ah hasanah dan diberikan
pahala bagi orang yang melakukannya. Imam para hafizh Abu Fadhl Ibnu
Hajar telah menjelaskan dasar hukumnya sunnah.
Imam Abu Syamah berkata :
Suatu
hal yang baik ialah apa yang dibuat pada tiap-tiap tahun bersetuju
dengan hari maulud Nabi Muhammad sallaLlahu ‘alaihi wasallam memberi
sedekah, membuat kebajikan, maka hal itu selain berbuat baik bagi fakir
miskin, juga mengingatkan kita untuk mengasihi junjungan kita Nabi
Muhammad sallaLlahu ‘alaihi wasallam membesarkan beliau, dan syukur
kepada Tuhan atas kurniaanNya, yang telah mengirim seorang Rasul yang
dirasulkan untuk kebahagiaan seluruh makhluk
(I’anatut Tholibin,
juzu’ III, halaman 364) – Imam Abu Syamah adalah seorang ulamak besar
Mazhab Syafie dan merupakan guru kepada Imam An Nawawi.
Ya Allah jadikanlah kami senantiasa menyintai Nabi Muhammad sallaLLahu ‘alaihi wasallam
Sumber rujukan :
1.
Prof Dr Ali Jum’ah, Penjelasan Terhadap Masalah-masalah KhilafiahAl
Bayan – Al Qawin li Tashbih Ba’dhi al Mafahim, .2008, Penerbitan Dar
Hakamah, Selangor
2. K.H Sirajuddin Abbas, 40 Masalah Agama, Pustaka Aman Press, Kelantan, Malaysia
3.
As Shiekh al Hafiz Abu al Fadl AbduLlah al Siddiq al Ghumari, Makna
Sebenar Bid'ah Satu Penjelasan Rapi, Cetakan 2007, Middle East Global
(M) Sdn. Bhd, Selangor.
4. Dr Abd Malik Abd Rahman As Sa'adi,
Salah Faham Terhadap Bid'ah, al Bid'ah fi al mafhum al islami ad daqiq,
Darul Nu'man, 2002, Kuala Lumpur
>>>
ngaji bareng bolo konco
http://surausmm.blogspot.com
>>>
>>>
pengen ngaji ?
pengen denger nada ?
silahkan kunjungi
>>>
Nasyid MP3 Pilihan
E-Kitab
Koleksi Selawat & Zikir munajat